Featured Post

#290224m kembali kerahmatullah HUSIN BIN MD YAASIN* UMUR : 73 TAHUN

*"Assalammualaikum"* "INFO KEMATIAN:" " JUMAAT , 1 MAC 2024" *MASJID ASSOBIRIN* *‎إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَ...

Saturday, January 3, 2015

Gambar warga emas sendirian di hutan dikelilingi ‘hutan batu’

Gambar warga emas sendirian di hutan dikelilingi 'hutan batu'
Tranungkite

Sekumpulan anggota polis yang 'berniat' menyerbu sebuah pondok buruk di hutan kecil berhampiran Damaisari, Wangsa Melawati, bertukar simpati apabila mendapati ia sebenarnya dihuni oleh seorang warga tua.

Dengan hanya bersarung kain pelikat, lelaki tua yang dikenali sebagai Muhammad Dris, 74, hanya mampu mengerekot di atas pangkin kayu sambil menahan lapar.

"Kami semua terperanjat melihat pakcik tua ini terbaring keseorangan menahan lapar," kata Timbalan Ketua Balai, Sarjan Jasman Aris ketika dihubungi The Rakyat Post.

Jasman berkata, mereka masuk ke hutan kecil itu dengan niat mahu menyerbu pondok buruk yang mungkin dijadikan sarang maksiat, tapi sangkaan kami meleset sama sekali.

"Tak sangka ada lagi orang yang terlalu daif sehingga terpaksa tinggal dalam keadaan serba daif di pondok buruk di dalam hutan," katanya.
Tersentuh dengan keadaan pak cik Muhammad, beberapa anggota polis terus membelikan makanan untuknya.

"Dia menangis apabila melihat jumlah makanan yang dibelikan. Apabila melihat airmatanya jatuh, kami juga jadi sedih.

Menurut Jasman lagi, pak cik Muhammad tinggal di pondok buruk itu sejak 30 tahun lalu, ketika kawasan itu masih lagi sebuah estet getah.

"Dia tinggal sebatang kara dan tidak mahu menyusahkan orang lain. Katanya, dia hanya makan roti hasil sumbangan mereka yang tahu dia tinggal di situ," katanya.

Anggota polis dari Balai Polis Wangsa Maju terus mengambil inisiatif memaklumkan keadaan pakcik Muhammad kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan usaha untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa sedang dijalankan
Menurut posting terbaru Facebook Balai Polis Wangsa Maju, Baitulmal MAIWP akan menanggung kos pembinaan rumah pak cik berkenaan setelah dipersetujui beliau untuk dipindahkan.

"Penduduk setempat akan mencari rumah dan kos ditanggung oleh pihak Baitulmal. Terima kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan masyarakat setempat yang prihatin.

"Sokongan dan doa masyarakat yang prihatin dapat mengubah nasib pakcik tua ini di hujung usianya," memetik laman sosial Facebook Balai Polis Wangsa Maju.

---------------

Siapa sangka dalam kepesatan pembangunan di ibu kota, masyarakat terlepas pandang penderitaan seorang warga emas yang tinggal bersendirian dalam hutan kecil di belakang kawasan perumahan Damaisari, Wangsa Melawati, di Kuala Lumpur, lebih daripada 30 tahun.

Mohamed Dris, 74, berkata beliau hidup sebatang kara di pondok usang itu kerana tidak mampu menyewa rumah semenjak hilang punca pendapatan sebagai penoreh di tempat itu yang dahulunya adalah ladang getah.

"Pakcik tidak larat untuk bekerja lagi dan lebih teruk daripada itu pakcik kini menghidap penyakit kencing manis ... nak makan pun kena hati-hati takut nanti penyakit bertambah buruk," katanya kepada Bernama di pondoknya di sini.

Mohamed yang tidak pernah berkahwin, berkata beliau tidak suka merayu simpati orang lain sebaliknya menguruskan hidup secara bersendirian.

Pondok yang dibina olehnya pada 1980 dengan menggunakan papan dan zink yang dibuang kini reput dan di dalamnya hanya terdapat sebuah meja papan buatan sendiri dan tikar getah yang dijadikan tempat tidur.

Malah, kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air tidak pernah dirasainya sejak menetap di pondok itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Balai Polis Wangsa Maju, Sarjan Jasman Aris yang ditemui Bernama berkata pihaknya terjumpa warga emas itu ketika melakukan Operasi 'Santa' pada malam sambutan Krismas 25 Dis lalu.

"Kami menerima aduan daripada penduduk setempat bahawa terdapat sebuah pondok dalam hutan kecil di belakang perumahan Damaisari, Desa Melawati yang khuatir dengan kewujudan pondok tersebut menjadi sarang bagi kegiatan dadah dan kes jenayah lain sebelum ini," katanya.

Menceritakan pengalaman tersebut, Jasman berkata pihaknya membuat serbuan pada pukul 1 pagi dan kehadiran mereka disambut dengan salakan anjing, kemudian keluar warga emas dalam keadaan daif yang hanya memakai kain pelekat yang sudah lusuh tanpa baju daripada pondok tersebut.

"Sedih melihat keadaan pakcik itu, seorang anggota kami segera membeli nasi dan pakcik Mohamed menangis kerana terharu apabila menerima makanan tersebut.

"Beliau tersenyum dan berkata pakcik tidak boleh makan nasi dan minum air bergula kerana ada kencing manis," katanya.

Jasman berkata seorang anggotanya kemudian mendapatkan roti dan air mineral dan beliau menerimanya dengan senyuman.

"Sementara menunggu bantuan daripada pihak kebajikan masyarakat, anggota kami bergilir-gilir menghantar bekalan roti dan air kepada pakcik Mohamad kerana simpati dengan keadaannya," katanya.

Beliau berkata pihak Balai Polis Wangsa Maju telah memanjangkan perkara tersebut kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan sedang berusaha untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa untuk Mohamed berteduh.

"Kami di Balai Polis Wangsa Maju berharap pakcik Mohamed mendapat sokongan dan bantuan segera daripada pihak Baitumal dan penduduk sekitar bagi mengubah masa depannya," katanya.

Sebaik sahaja anggota polis menemui Mohamed, lakaran hidupnya ibarat rezeki turun dari langit.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota Balai Polis Wangsa Maju kerana sudi menghantar makanan setiap hari kepada saya.

"Kini saya tidak perlu risau bagaimana hendak mendapatkan makanan lagi dan saya rasa terharu dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh warga Balai Polis Wangsa Maju yang dilihat bersungguh-sungguh menghulurkan bantuan kepada saya ... saya tiada niat untuk menyusahkan mereka," katanya.
-Bernama-